Selasa, 9 Februari 2021

AMALKAN ISLAM SECARA KESELURUHAN


Allah memerintahkan kepada hamba-hambaNya yang beriman kepadaNya dan membenarkan RasulNya, hendaklah mereka berpegang teguh kepada tali Islam dan semua syariatnya serta mengamalkan semua perintahnya dan meninggalkan semua larangannya dengan segala kemampuan yang ada pada mereka.

Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas, Mujahid, Tawus, Ad-Dahhak, Ikrimah, Qatadah, As-Suddi, dan Ibnu Zaid sehubungan dengan firman-Nya: "masuklah kalian ke dalam Islam keseluruhannya." (Al-Baqarah: 208) Yang dimaksud dengan as-silmi ialah agama Islam.

Ad-Dahhak meriwayatkan dari Ibnu Abbas, Abul Aliyah, dan Ar-Rabi' ibnu Anas sehubungan dengan firman-Nya: "masuklah kalian ke dalam Islam." (Al-Baqarah: 208) Yang dimaksud dengan as-silmi ialah taat. Qatadah mengatakan pula bahawa yang dimaksud dengan as-silmi ialah berserah diri.

Lafaz kaffah menurut Ibnu Abbas, Mujahid, Abul Aliyah, Ikrimah, Ar-Rabi' ibnu Anas, As-Suddi, dan Muqatil ibnu Hayyan, Qatadah dan Ad-Dahhak ertinya keseluruhannya (semuanya)

Mujahid mengatakan makna ayat ialah berkerjalah kalian dengan semua amal dan semua sudut kebajikan.

Ikrimah menduga bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan segolongan orang dari kalangan orang-orang Yahudi dan lain-lainnya yang masuk Islam, seperti Abdullah ibnu Salam, Asad ibnu Ubaid, dan Tha'labah serta segolongan orang-orang yang meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk melakukan kebaktian pada hari Sabtu dan membaca kitab Taurat di malam hari.

Maka Allah memerintahkan mereka agar mendirikan syiar-syiar Islam dan menyibukkan diri dengannya serta melupakan hal lainnya.

Mengenai keterlibatan Abdullah ibnu Salam bersama mereka, masih perlu dipertimbangkan kebenarannya, kerana mustahil dia meminta izin kepada Rasulullah untuk melakukan kebaktian di hari Sabtu, sedangkan dia selain memiliki iman yang sempurna; juga telah membuktikan bahawa hari Sabtu itu telah dimansuh, dihapuskan, dan dibatalkan, kemudian diganti dengan hari-hari raya Islam.

Dari kalangan mufassirin ada orang yang menjadikan firman-Nya, "Kaffah," sebagai hal (keterangan keadaan) dari lafaz ad-dakhilin, yakni masuklah kalian semua ke dalam Islam.

Tetapi pendapat yang benar adalah pendapat yang pertama, iaitu yang mengatakan bahawa mereka diperintahkan untuk mengamalkan semua cabang iman dan syariat Islam yang banyak sekali dengan segenap kemampuan yang mereka miliki.

Seperti yang dikatakan oleh Ibnu Abu Hatim, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Husain, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnus Sabbah, telah menceritakan kepadaku Al-Haisam ibnu Yaman, telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Zakaria, telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnu Aun, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam keseluruhannya." (Al-Baqarah: 208) Dengan lafaz kaffah yang dibaca nasab (dengan harakat/baris atas) menurut qiraatnya, yang dimaksud dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang mukmin dari kalangan Ahli Kitab. Kerana sesungguhnya sekalipun telah beriman kepada Allah, mereka masih tetap berpegang kepada sebahagian perkara kitab Taurat dan syariat-syariat yang diturunkan di kalangan mereka. Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya: "masuklah kalian ke dalam Islam keseluruhannya." (Al-Baqarah: 208) Yakni masuklah kalian ke dalam syariat Nabi Muhammad SAW dan janganlah kalian meninggalkan sesuatu pun yang ada padanya, dan tinggalkanlah apa yang ada di dalam kitab Taurat. Kalian hanya dituntut untuk beriman kepadanya sahaja, dan itu sudah cukup bagi kalian.

(Nukilan beserta suntingan dari Terjemahan Tafsir Al-Quran Al-Azhim @ Tafsir Ibnu Kathir)

Semoga bermanfaat.

(*) Disediakan oleh Unit Dakwah dan Media An-Najiyah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

WASIAT IMAM SYAFIE AGAR BERPEGANG DENGAN SUNNAH YANG SAHIH

Berikut adalah antara ucapan-ucapan Imam Syafie rahimhullah menerangkan agar berpegang teguh dengan sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam...